Utamakan Kebersihan Identiti Umat Islam

kebersihan-diri-bersugi

Islam amat mementingkan soal kebersihan dan kecantikan diri. Penampilan diri yang bersih dan cantik mencerminkan jiwa serta cara hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah SAW diketahui sebagai Nabi yang amat mengambil berat soal kebersihan diri. Malah, diriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda menggosok gigi terlebih dulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun daripada tidur.

Rasulullah SAW juga sentiasa memakai haruman setiap kali keluar rumah. Haruman dipakai Baginda SAW membolehkan orang berada di sekeliling sedar kedatangan Rasulullah SAW biarpun belum melihat siapa yang datang itu. Boleh dirumuskan yang kebiasaan menghias diri adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Lima amalan daripada fitrah itu ialah mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.”

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwattal menulis Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri sehingga menegur seorang lelaki yang rambut dan janggutnya dalam keadaan tidak terurus.

Kisahnya, ketika Rasulullah SAW berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus dan rambut kusut. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya.

Lalu lelaki berkenaan beredar dan seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu, Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.

Selain kebersihan diri, kita juga perlu menjaga kebersihan persekitaran. Perkara ini mencerminkan identiti orang Islam yang cintakan kebersihan, membezakan dengan penganut agama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh itu, hendaklah kamu bersihkan halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang Yahudi yang suka mengumpul tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Malangnya, umat Islam sekarang tidak mengambil berat soal kebersihan. Perbuatan itu jauh sama sekali daripada ajaran Islam yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani. Mereka yang tidak mementingkan aspek kebersihan sebenarnya menolak janji Allah SWT yang menyediakan balasan pahala kepada hamba-Nya yang menjaga kebersihan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menjaga kebersihan termasuk dalam usaha menjaga kesihatan dan menghindar penyakit. Banyak penyakit berpunca daripada diri dan persekitaran yang tidak bersih.

Individu yang lemah dan berpenyakit menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan seharian. Untuk mengelak keadaan itu, Islam memberi fokus agar umatnya sentiasa sihat dan kuat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka itu, marilah kita mengutamakan kebersihan dan penampilan diri agar berada dalam keadaan sihat. Kita disarankan agar sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah) - Berita Harian

0 Response to "Utamakan Kebersihan Identiti Umat Islam"

Catat Ulasan