Mampukah Harimau Malaya Bergelar Juara Piala AFF Suzuki 2014

suzuki-aff-malayan-tiger

SKUAD Harimau Malaya yang berdepan tugas berat di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, akan tampil dengan misi memburu gol awal bagi membakar semangat pemain untuk menewaskan Thailand pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014.

Malaysia perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas untuk menang ke atas Thailand, selepas tewas 0-2 pada aksi final pertama di Bangkok, Rabu lepas.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata, gol awal itu akan meningkatkan keyakinan pemain dan menyemarakkan lagi sokongan padu penyokong Harimau Malaya.

"Kita kena bagi yang terbaik, yang penting, kita perlu dapatkan gol awal," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di venue  berkenaan, hari ini.

Beliau yang berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagaimanapun amat mengharapkan tidak hujan ketika aksi malam esok, kerana ia boleh menjejaskan rentak permainan.

"Ada sesetengah tempat rumputnya matang dan ada rumput yang tercabut. Saya bimbang hujan pada malam esok akan menjejaskan peluang kita untuk  menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, Dollah meminta barisan pertahanan skuad negara merantai bahagian tengah Thailand yang diketuai pemain lincah, Chanathip Songkrasin yang sering bergerak pantas ketika pasukan itu melakukan serangan.

"Kekuatan mereka di bahagian tengah dan saya juga tahu kelemahan mereka," katanya. - Bernama

0 Response to "Mampukah Harimau Malaya Bergelar Juara Piala AFF Suzuki 2014"

Catat Ulasan