Pastikan Kontraktor Berdaftar Sebelum Ubahsuai Rumah

renovate-rumah

Membeli rumah baru tanpa membuat pengubahsuaian seperti tidak lengkap memilikinya memandangkan rumah yang siap dibina hanya mempunyai ciri asas dan pembeli perlu mengeluarkan wang poket sendiri untuk melengkapkannya.

Antara perkara pengubahsuaian biasa termasuk pemasangan jeriji tinggi, pagar, mempeluaskan dan menambah aksesori dapur, pendawaian elektrik dan sistem saluran paip.

Perkara yang disebutkan itu biasa dilakukan oleh pembeli dan ia membabitkan tenaga kerja ketiga iaitu kontraktor pengubahsuaian.

Kontraktor pengubahsuaian memainkan peranan penting bagi memastikan tatahias rumah dibeli tampak sempurna yang meliputi kekemasan, keselamatan dan cantik apabila ia disiapkan kelak.

Berdasarkan statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (NAPIC) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menganggarkan RM2.2 bilion kerja ubah suai rumah kediaman pada 2012 yang bernilai kurang daripada RM500,000 setiap satu.

Laporan itu mendapati anggaran konservatif kerja ubah suai berjumlah 50,000 unit setahun dengan kos purata RM50,000 setiap satu.

Angka itu menunjukkan kos pengubahsuaian adalah tinggi dan pemilihan kontraktor penting bagi memastikan proses menyiapkannya tidak mengalami masalah terutama membabitkan kecacatan atau kontraktor lesap selepas menerima wang pendahuluan atau sebagainya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, disebabkan masyarakat umum masih tidak sedar mengenai peruntukan undang-undang bagi mengambil kontraktor yang berdaftar dengan CIDB, 92 peratus daripada semua pekerja ubah suai adalah dari kalangan tidak berdaftar dan 67 peratus membabitkan pekerja asing.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan pelbagai pertikaian di dalam kerja ubah suai terutama kualiti kerja yang rendah dan tidak sempurna serta kontraktor lari tanpa menyiapkan projek berkenaan.

“Jika dilihat pada statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) antara 2012 hingga 2013, sebanyak 527 kes pertikaian kerja ubah suai kediaman membabitkan nilai tuntutan RM5.9 juta dirujuk kepada tribunal itu.

“Namun, kes ini terhad kepada tuntutan membabitkan kerja ubahsuai kediaman tidak lebih RM25,000. Daripada 356 kes tuntutan membabitkan kerja uabhsuai kediaman yang dibawa TTPM pada 2011, hanya 56 kes membabitkan kontraktor berdaftar,” katanya.

Katanya lagi, jika orang ramai masih mementingkan kos rendah ditawarkan warga asing untuk melakukan kerja ubah suai kediaman, maka mereka berpotensi untuk berdepan dengan pelbagai risiko antaranya kerugian dari aspek kualiti dan kewangan.

Sumber

0 Response to "Pastikan Kontraktor Berdaftar Sebelum Ubahsuai Rumah"

Catat Ulasan